Ucapan takziah Perdana Menteri itu disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya, Abu Bakar Yahya yang menziarahi jenazah Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor di kediamannya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui di sini menyatakan mengenali rapat Allahyarham sebagai seorang sentiasa komited dalam perjuangan rakyat sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ADUN. 

"Bagaimanapun, mati itu ketentuan Allah SWT. Saya berharap ahli keluarga Allahyarham Bakhtiar menerima dugaan Allah SWT ini dengan sabar," katanya. 

Hadir sama melawat jenazah Allahyarham ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun. 

Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang berusia 57 tahun dilapor meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi ini di Hospital Kajang, dipercayai akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham dijangka akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir di sini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bakhtiar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM). - K! ONLINE