Melalui laman Twitternya, @chedetofficial beberapa jam lalu, Mahathir dilihat melawat Ainul di hospital dan bergambar bersama ibu bapa bayi itu dan doktor yang merawatnya.

Mahathir berada di London dalam lawatan kerjanya selama 3 hari di negara berkenaan.

Ibu bapa Ainul, Ahmad Saifuddin, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24, dilihat mengiringi Perdana Menteri melawat anak mereka.

Turut kelihatan dalam video dan gambar yang dikongsi itu adalah Dr. Nur Amalina Che Bakri yang merupakan pihak berusaha membawa Ainul menerima rawatan di hospital kanak-kanak terkemuka di kota London itu.

Ainul disahkan mengidap kanser Germ Cell dan sebelum ini mempunyai tumor besar yang memenuhi mulutnya, ia telah berjaya dibuang melalui satu pembedahan penuh berisiko minggu lalu di London.

Tumor seberat 200 gram itu telah berjaya dikeluarkan dalam pembedahan tersebut dan kini Ainul masih dipantau di hospital berkenaan bagi memastikan tumor tidak berulang lagi. - K! ONLINE