Najib yang tiba di Stesen KL Sentral bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 7.55 pagi turut beramah mesra berbual dengan petugas tren serta penumpang yang berada di stesen itu yang merupakan hab pengangkutan moden sejak memulakan operasi pada 2001.

Memulakan perjalanan pada 8 pagi menuju ke Stesen Tanjung Malim, Perak untuk bersarapan bersama rakyat setempat di Medan Selera Tanjung Malim, Najib yang diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai juga beramah mesra dengan pemandu ETS yang bertugas mengendalikan tren tersebut.

Ketika dalam perjalanan sejauh 84.6 kilometer itu, Najib dan Rosmah berkesempatan bersarapan dengan menu sajian pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu bihun goreng dan teh tarik sebelum berbual  mesra dengan penumpang tren selain menunaikan permintaan mereka untuk bergambar serta berswafoto sebagai kenang-kenangan.

Najib dan isteri yang kelihatan santai berinteraksi dengan rakyat turut menyampaikan rasa puas hati kepada petugas KTMB dengan perkhidmatan ETS yang telah memulakan operasi sejak 12 Julai 2015 bagi laluan Kuala Lumpur-Padang Besar, Padang Besar-Kuala Lumpur, melalui 15 stesen dengan perjalanan seawal 9.30 pagi.

Beliau juga kelihatan gembira kerana berkesempatan meninjau dan mencuba sendiri kelancaran perkhidmatan ETS yang menjadi nadi pengangkutan awam pilihan rakyat di negara ini.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam tiga puluh minit itu melalui tiga stesen iaitu Kuala Lumpur, Kepong Sentral dan Rawang sebelum tiba di Stesen Tanjung Malim kira-kira 9.30 pagi. - Bernama