Beliau berkata, Anwar telah menghubunginya semalam sebelum berlepas ke Hong Kong bagi memberi arahan untuk 'mempersiapkan' kerusi-kerusi berpotensi yang akan ditandingi presiden parti yang dipilih itu dalam masa terdekat.

"Kerusi (berpotensi) itu asalnya tiga, tapi sehingga semalam setelah di 'zoom in' jadi dua, semalam dia telah hubungi saya untuk memberikan gambaran dan saya ada beberapa tugasan untuk disiapkan, mungkin waktu di Hong Kong nanti beliau akan buat keputusan satu daripada kerusi itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di sini hari ini.

Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerusi yang akan dipilih oleh Anwar itu nanti adalah kerusi paling selamat berdasarkan kepada kajian serta mengambil kira keputusan pada pilihan raya umum yang lepas.

"Kami sudah ambil kira semua termasuk keputusan pilihan raya umum yang lepas, peratus keluar mengundi, isu politik semasa yang berlegar serta isu dimainkan pembangkang selama pembangkang belum keluar tajuk politik perkauman, agama serta sengketa kaum," katanya. - Bernama