Beliau berkata parti itu sentiasa berterus terang dengan anggotanya terhadap semua perkara bagi mengelak berlaku "barah" yang boleh menghancurkan parti.

"Parti Keadilan berhujah dan beritahu terus semua perkara kepada ahlinya. Kalau tak cakap terus, ahli tidak akan tahu cerita sebenar.

"Proses pemilihan pun semua 900,000 ahli akan mengundi. Menang kalah memang akan ada, tetapi tidak ada parti serpihan kerana masing-masing akan tetap bantu perkukuh parti selepas itu," katanya ketika berucap pada Majlis #Reformasi 20 tahun di Felda Residence, di sini malam tadi.

Kira-kira 300 ahli PKR Terengganu hadir ke majlis yang merupakan lokasi ke lima penganjuran yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga calon Ketua Wanita PKR.

Rafizi berkata budaya dalam parti itu berbeza dengan parti lain seperti UMNO dan Pas yang tidak berani menegur secara terbuka.
Katanya PKR berjaya kekal teguh sejak penubuhannya kerana berupaya mengkritik secara terbuka dan melaksanakan proses demokrasi dengan berkesan.

Justeru, katanya prinsip itu perlu dikekalkan jika PKR tidak mahu menerima nasib yang sama dengan Pas yang melahirkan parti serpihan, Amanah dan UMNO yang melahirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Rafizi yang merupakan calon timbalan presiden PKR akan berdepan dengan penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan ADUN Bukit Antarabangsa pada pemilihan parti yang akan berlangsung selama sembilan minggu bermula bulan ini. - Bernama