Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini berikutan PKPS merupakan proses pemutihan cukai untuk membantu mereka yang membuka akaun di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang masih belum dilapor atau dicukai.

"Jika pendapatan ini telah dilaporkan kepada LHDN atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

"Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa yang mana butiran lanjut pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas pihaknya menerima banyak pertanyaan individu yang telah menerima surat serta e-mel PKPS daripada LHDN. 

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah dilaporkan berkata, pihaknya memperkenalkan inisiatif  PKPS sebagai salah satu kaedah penyelesaian cukai untuk mereka yang mempunyai pendapatan dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dicukai dan disimpan di akaun bank di luar negara tetapi pendapatan tersebut masih belum dilaporkan kepada LHDN.

Di bawah program tersebut, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 31 Mac 2019 dan 15 peratus sekiranya pelaporan dibuat pada atau sebelum 30 Jun 2019.

Mengulas lanjut, Lim berkata, di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara.  LHDN telah mula menerima maklumat kewangan khususnya membabitkan pemilikan akaun bank dari luar negara mulai September lepas.

"Dalam erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDN.

"Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta menerusi e-mel atau surat LHDN untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN," kata beliau. 

Justeru, jelas Lim, pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela melalui PKPS jika terdapat pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun bank luar negara tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai.

"Saya juga telah meminta LHDN mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawainya yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan PKPS dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan," katanya.

Lim turut menegaskan bahawa tiada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuat kuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia dan masih menggunakan struktur penalti sama. 

"Perubahan tindakan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan mengenakan topeng muka sebelum ini (iaitu) operasi Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET)," katanya.

Susulan itu, kata Lim, satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDN untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini bagi mengelak sebarang salah faham. - Bernama