Pengarahnya, Adnan Abd. Rahman berkata, penugasan itu bagi memastikan tidak berlaku kenaikkan harga barangan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri sehingga membebankan para pengguna di negeri ini.

Menurutnya, KPDNHEP telah menyusun jadual penggiliran dalam kalangan anggota bagi memastikan penugasan penguatkuasaan sepanjang tempoh perayaan berjalan lancar.

"KPDNHEP tidak hanya memantau pasar raya, malah turut akan ke seluruh pasar-pasar di negeri ini bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2019.

"Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum bagi Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2019 (SHMMP HRP 2019) di Pasaraya Giant, Tunjong di sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad.

Adnan memberitahu, SHMMP HRP 2019 yang bermula 21 Mei lalu itu akan berakhir pada 19 Jun iaitu selama 30 hari.

Katanya, sebanyak 27 jenis barangan berada di bawah skim berkenaan berbanding 21 jenis sebelum ini.

Sementara itu, Hanifa mengingatkan supaya para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian dan tidak bertindak sesuka hati untuk menaikkannya.

Katanya, Islam turut melarang umatnya menaikkan harga sesuka hati kerana perkara itu bercanggah ajaran agama. - K! ONLINE