Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, pembukaan pintu sempadan daripada 18 jam kepada 24 jam itu bermula pukul 12 tengah malam ini.

“Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam akan beroperasi secara 24 jam khusus bagi laluan kenderaan berat sahaja manakala laluan awam kekal seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Pintu sempadan di ICQS Bukit Kayu Hitam pada masa ini beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Kata beliau, laluan kenderaan berat itu melibatkan dua lorong masuk dan dua lorong keluar.

“Pemeriksaan ketat akan terus dilakukan dengan memastikan semua kemasukan kenderaan berat mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan termasuk menyediakan dokumen diperlukan.

“Mana-mana kenderaan berat yang mencurigakan, kita akan terus tahan untuk pemeriksaan,” ujarnya.

Menurut Zuhair, pemeriksaan akan dilakukan bersama agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Tambahnya, pembukaan secara 24 jam itu akan memudahkan syarikat logistik merancang perjalanan keluar masuk ke negara ini terutama pada awal pagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Januari lalu dilaporkan berkata, pembukaan pintu sempadan di ICQS Bukit Kayu Hitam secara 24 jam mampu merancakkan aktiviti perdagangan serta berupaya menyumbang kepada perkembangan industri logistik di Kedah.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaannya hanya melibatkan tambahan masa enam jam daripada tempoh operasi sekarang iaitu 18 jam, ia dilihat akan memberikan ruang masa tanpa had kepada aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Thailand. - K! ONLINE

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS