Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bukan menolak syarikat atau produk antarabangsa, malah sentiasa mengambil sikap terbuka dalam perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, memilih syarikat atau produk antarabangsa sedangkan syarikat atau produk tempatan ada keupayaan yang lebih hebat adalah tidak wajar.

"Kita mempunyai produk tempatan Melayu, India, Cina atau Iban yang ada keupayaan dan tarikan sendiri.

"Potensinya besar, tetapi ini memerlukan komitmen pemerintah dan komitmen rakyat," katanya semasa berucap pada Pelancaran Program 'Bworks' Untuk Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana di sini hari ini.

Program anjuran syarikat penyedia platform e-dagang, amaxMall Sdn. Bhd. (amaxMall) itu dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif amaxMall, Datin Dr. Nik Sarina Hashim.

Terdahulu, Nik Sarina dalam ucapannya menjelaskan, program 'bworks' membolehkan usahawan mendapatkan laman web sendiri pada harga berpatutan serta menawarkan latihan dan peluang menjual produk ke rangkaian runcit dan pasar raya besar.

Sementara itu, Anwar menegaskan sebilangan rakyat Malaysia masih memiliki jiwa dan pemikiran yang terjajah apabila menganggap semua produk dari barat baik dan cantik, manakala produk tempatan kurang baik.

"Ini menjadi satu penyakit sedangkan jika benar kita ada citarasa yang canggih, kita mesti ada sikap terbuka jika produk (tempatan) yang dihasilkan boleh bersaing dengan produk peringkat antarabangsa," katanya. - K! ONLINE