Menurut beliau, seawal umur empat tahun kebanyakan kanak-kanak seusianya dihantar belajar al-Quran dengan guru al-Quran yang sangat tegas.

Lazimnya, mereka khatam ­al-Quran dua tahun kemudian. Mereka juga perlu khatam ­al-Quran sebelum berkhatan. Begitu juga dengan anak-anak perempuan, mereka yang tidak khatam al-Quran dianggap belum layak mendirikan rumah tangga.

Bahkan Syaikh Ismail, 74, menceritakan, pemuda yang mempunyai pendidikan al-Quran sekitar tahun 1960-an laris seperti pisang goreng panas sehinggakan ada ibu bapa gadis yang sanggup meminang lelaki tersebut untuk dijadikan menantu. Tindakan itu dilakukan semata-mata disebabkan mereka jatuh hati dengan kelunakan suara dan kualiti bacaan al-Quran pemuda tersebut.

Tahun lalu, Indonesia memper­kenalkan peraturan baharu bagi mereka yang ingin bertanding jawatan gabenor di Aceh iaitu wajib mahir membaca al-Quran.

April lalu pula, polis daerah di seluruh Indonesia mula menetapkan bahawa mereka yang hafal 30 juzuk ­al-Quran akan terus diserap ke dalam Jabatan Polis Republik Indonesia. Anggota polis yang hafal al-Quran akan diberi tugas khas untuk membentuk keperibadian masyarakat melalui kegiatan keagamaan.

Dua kisah di Indonesia ini jelas menggambarkan betapa individu yang berdamping dengan al-Quran mempunyai status sosial yang tinggi dalam masyarakat.

Ramadan yang juga digelar syahrul Quran adalah bulan yang cukup istimewa dalam kalendar Islam. Bulan yang sinonim dengan ­al-Quran ini mencatat peristiwa besar apabila al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah iaitu langit dunia pada lailatulqadar.

Diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, 17 Ramadan menjadi hari istimewa sempena memperingati peristiwa agung ini. Manual terbaik daripada Allah ini ibarat cahaya yang me­nerangi kegelapan malam supaya manusia tidak tersesat dalam kehidupan. Namun, sejauh manakah kita benar-benar serius dengan mukjizat ini?

Secara jujurnya, bilakah kali terakhir kita membaca, memperbaiki bacaan atau memahami isi ­kan­dungannya?

Membaca al-Quran bukanlah sekadar untuk meraih pahala. Malah, isi kandungan al-Quran yang banyak merakam peristiwa terdahulu, semasa dan akan datang merupakan panduan hidup yang mampu menjadi penawar terbaik untuk jiwa manusia.

Berita baik kepada mereka yang membaca al-Quran, Allah telah menjanjikan limpahan pahala yang berganda walaupun tidak memahami maknanya. Bayangkan, setiap huruf yang dibaca diganjari dengan 10 kebaikan.

Jika dengan ganjaran sedemikian kita masih belum tersentuh hati untuk mendekati al-Quran, dengan cara apakah lagi untuk kita me­nyantuni kitab Allah itu?

Kita mungkin sudah berasa cukup hebat kerana berjaya menga­tur pelbagai agenda kehidupan dunia, namun berapa ramaikah dalam kalangan kita yang benar-benar serius merancang masa untuk berdamping dengan al-Quran setidak-tidaknya pada bulan Ramadan ini?

Jika kita boleh menghabiskan masa berjam-jam melayan media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter, berapa banyak pula masa yang kita peruntukkan untuk berinteraksi dengan al-Quran dalam sehari?

Elakkan ‘mewargaemaskan’ hal-hal agama seperti solat jemaah di masjid, membaca al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu agama hanya selepas pencen atau setelah kita mencapai usia tua.

Janganlah menunda-nunda untuk berdamping dengan al-Quran. Usah biarkan al-Quran terus terperosok di dalam almari dan dibiarkan berhabuk. Al-Quran juga bukan alat perhiasan rumah, pelengkap hantaran perkahwinan, penghalau hantu syaitan atau dibaca ketika kematian.

Jika selama ini kita terlalu sibuk sehingga mengabaikan al-Quran, jadikan Ramadan kali ini sebagai langkah awal untuk berdamping dengan al-Quran tanpa meninggalkannya sekalipun bulan mulia itu sudah pun berlalu.

Andai kita tidak mampu membaca satu juzuk sehari, maka bacalah separuh, jika masih tidak mampu, bacalah satu muka surat, jika masih tidak mampu bacalah 10 ayat, jika masih tidak mampu bacalah walau satu ayat sehari. Me­ngapakah kita perlu benar-benar serius dengan al-Quran?

Jawapannya ada pada hadis yang diriwayat oleh Muslim ini bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti.”

Justeru, carilah jalan untuk berinteraksi dengan al-Quran.