Yang Dipertua PIBG SK Bakong, Azman Ag. Noh berkata, idea asal projek itu daripada hasil perbincangan usahawan cendawan yang juga Naib Yang Dipertua PIBG, Haslina Ya dan guru besar terdahulu, Fadhil Hassan bertujuan mencari sumber kewangan untuk dana sekolah.

Azman berkata, kantin lama sekolah seluas 74 meter persegi telah ditukar menjadi bangsal tempat bongkah cendawan diletakkan sebelum mengeluarkan hasil.

"SK Bakong adalah sebuah sekolah luar bandar yang mana majoriti muridnya seramai 225 orang adalah daripada keluarga miskin dan untuk mendapat bayaran yuran PIBG pun sukar.

"Kami bermula pada Mei tahun lalu dengan menggunakan 5,000 bongkah cendawan tiram kelabu sumbangan Haslina dan ia mengeluarkan hasil pertama tidak sampai dua bulan selepas itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap bongkah cendawan boleh dituai hasilnya maksima sehingga sembilan kali dalam tempoh lima bulan.

“Kami dapat mengeluarkan purata 15 kilogram cendawan tiram kelabu sehari kepada peniaga di Pasar Jelawat yang dijual pada harga RM10 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya melaksanakan banyak perkara hasil daripada dana cendawan seperti menaik taraf padang bola sepak, membina kolam ikan untuk Taman Sains dan mengadakan pelbagai program motivasi untuk murid.

 Azman berkata, pada April lalu pihaknya telah memulakan pusingan kedua projek tanaman cendawan kali ini dengan jumlah 10,000 bongkah pula.

“Tahun ini juga di bawah pentadbiran Guru Besar baharu, Amran Zakaria, pihak kami mengusahakan tanaman cendawan kukur dengan 500 bongkah sebagai permulaan sebagai percubaan dan telah menjana keuntungan sebanyak RM1,800 setakat ini.

“Selain mengeluarkan hasil cendawan untuk dipasarkan, pihaknya juga membekalkan bongkah cendawan kepada pihak yang berminat,” katanya.

Katanya, sebagai sekolah perintis yang mengusahakan tanaman cendawan, pihaknya turut membantu beberapa buah sekolah di daerah ini seperti SK Seri Kemudi, SK Sri Kemunting, SK Bachok, SK Chantum, SK Kubang Telaga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat serta SK Chabang Tiga Chetok di Pasir Mas dan SK Gua Musang yang berminat menjalankan projek tersebut.

Azman berkata, sesiapa yang ingin mendapatkan bekalan cendawan dan bongkah SK Bakong  boleh menghubungi beliau di talian 019-9205 573. - K! ONLINE