Mengapa agaknya kejohanan bola sepak Piala Dunia begitu dinanti-nantikan oleh kita semua. Jawapannya ialah kerana bola sepak merupakan sukan paling po­pular di dunia.

Dianggarkan kejohanan empat tahun sekali ini mempunyai 3.5 bilion peminat di dunia. Ia diikuti oleh sukan kriket (2.5 bilion), hoki (2 bilion) dan tenis (1 bilion).

Menariknya, jika sebilangan sukan hanya popular di negara atau rantau tertentu tetapi sukan bola sepak digemari di seluruh pelosok dunia termasuk benua Eropah, Afrika, Amerika dan Asia tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan bahasa.

Bola sepak bukan sahaja diminati di negara sejuk, panas dan sederhana, malah penduduk di negara yang dilanda peperangan dan konflik politik juga tetap tidak mahu ketinggalan mengikut perkembangan sukan itu.

Ketahui juga, jika anda menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018 pada musim ini, maka bersama-sama dengan anda ialah separuh daripada penduduk di planet Bumi ini.

Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebanyak 3.2 bilion manusia menyaksikan kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil. Dunia mempunyai 7.6 bilion penduduk pada masa kini.

Itu tidak lagi mengambil kira sejumlah ahli keluarga yang menjadi penonton ‘suka tak rela’ apabila ada ahli keluarga mereka akan memastikan saluran siaran bola sepak di televisyen menjadi milik mereka sejak 14 Jun lalu sehingga 15 Julai ini.

Jika ada suara-suara sinis mempertikai pengorbanan anda untuk berjaga malam sehingga pukul 4 pagi semata-mata tidak mahu terlepas sesuatu perlawanan dengan alasan Malaysia tidak pernah berpeluang ke Piala Dunia, jangan dipedulikan kata-kata itu.

Hal ini kerana Piala Dunia amat unik. Tidak ada negara yang boleh mendabik dada mereka kuasa besar bola sepak meskipun memiliki bintang ternama seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Neymar, Mohamed Salah dan ramai lagi.

Begitu juga, negara kuasa besar dunia baik dari segi ekonomi mahu pun kekuatan ketenteraan tidak semestinya mampu melahirkan pasukan bola sepak terhandal dunia.

Lihat sahaja China yang mempunyai 1.38 bilion manusia diikuti India (1.29 bilion), Amerika Syarikat (329 juta) dan Indonesia (262 juta) juga tidak mampu ber­saing untuk bersaing ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun negara terkecil seperti Iceland de­ngan jumlah rakyat 334,000 masih gah di persada sukan bola sepak apabila mampu menyertai 32 pasukan lain pada kejohanan kali ke-21 tahun ini.

Penulis percaya, negara Iceland akan sedikit sunyi apabila 66,000 penduduknya atau sekitar 20 peratus telah membeli tiket untuk berkunjung dan memberi sokongan kepada pasukan mereka di beberapa stadium di Rusia.

Akhirnya, negara manakah yang akan muncul juara kali ini? Jika sukar meneka, lihat sahaja rekod sebelum ini apabila Brazil membawa pulang Piala Dunia seba­nyak lima kali, diikuti Jerman (empat), Itali (empat), Argentina (dua), Uruguay (dua), manakala England, Sepanyol dan Perancis masing-masing sekali.

Nampaknya Piala Dunia hanya berulang-alik dari Amerika Latin dan Eropah. Harap-harapnya suatu hari kelak melencong masuk ke bahagian Asia.

Bagi sukan bola sepak, ia suatu tidak mustahil berlaku. Selamat menonton perlawanan akhir bersama kira-kira satu bilion manusia lain pada 15 Julai ini.