Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perbincangan rapi perlu dilakukan kerana piagam tersebut menentukan garis panduan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Mohd. Amar, beliau secara peribadi menyambut baik sekiranya ia memberi kebaikan pada masa hadapan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Kita sudah ada jawatankuasa perunding antara Pas dan UMNO untuk membincangkan bentuk kerjasama sehingga pilihan raya akan datang, kita tunggu sahaja kerana setakat ini belum ada keputusan mutlak.

"(Kita) kena bincang kaedah, konsepnya macam mana, perlu atau tidak perlu, setakat mana,  sebab antara negeri dengan negeri tidak sama," katanya selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai piagam kerjasama UMNO dan Pas yang akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Mohd. Amar berkata, kewujudan garis panduan sedemikian adalah sama dengan memorandum persefahaman yang dimeterai Pas semasa menyertai Parti Perikatan atau kemudiannya Barisan Nasional (BN) pada awal dekad 1970-an. -K! ONLINE