Pengerusi Portfolio Kementerian Kerja Raya PH negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, pihaknya berpendapat adalah wajar sekiranya laluan tersebut dibuka sementara bagi mengatasi kesesakan menjelang Aidilfitri.

“Hasil perbincangan dan taklimat oleh pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) kita rasa permintaan ini wajar.

"Kita juga menerima rayuan daripada penduduk dan pengguna jalan raya agar kerajaan dapat membuka jajaran lebuh raya itu buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Projek lebuh raya itu setakat ini sudah dibuka laluannya kepada orang ramai iaitu Pakej 1A melibatkan laluan dari Pasir Hor ke Perol manakala Pakej 2A sudah siap melalui proses turapan dan kini kerja-kerja penyelenggaraan akhir sedang dijalankan.

Semalam Ab. Aziz bersama Ketua Sekretariat PH Kelantan, Mijd Soberi Shafii membuat tinjauan di lebuh raya berkenaan. 

Menurut Ab. Aziz, pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada Kementerian Kerja Raya untuk kemudahan pengguna sebagai jalan alternatif baharu antara Ketereh dan Kota Bharu.

“Memandangkan jangkaan kira-kira sejuta kenderaan memasuki Kelantan menjelang perayaan kemudahan ini akan memastikan perjalanan mereka bertambah lancar untuk ke Kota Bharu.

"Kita juga memberi cadangan agar pembukaan sementara itu bermula 3 hingga 9 Jun depan,” katanya. - K! ONLINE