Penolong Pegawai Pemerintah, Deputi Superintendan Ab. Aziz Che Embong berkata, rampasan menerusi Op Wawasan itu dilakukan dalam beberapa serbuan bermula 13 Julai hingga hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga seramai 28 individu termasuk wanita berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan.

"Antara barangan rampasan ialah adalah gaharu bernilai RM1.3 juta, 198,800 batang rokok seludup bernilai RM88,000, beras seludup bernilai RM9,600 serta pelbagai jenis dadah iaitu pil Eramin 5, ubat batuk dan daun ketum," katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Tektikal Batalion 8 PGA Lubok Setol, Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau berkata, semua barangan itu dirampas di kawasan pengkalan haram Hasan Merah, Rantau Panjang; Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang;  Kampung Gong Dayak Tok Uban, dan kawasan Kubang Pak Hitam Meranti, Pasir Mas.

Menurutnya, rampasan itu adalah hasil kekuatan pegawai dan anggotanya seramai 300 orang menjalankan tugas di sempadan bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Pekan Rantau Panjang membabitkan 17 Pos Kawalan sejauh 32 kilometer.

"Kita juga mendapat kerjasama masyaramat setempat yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan," katanya. - K! ONLINE