Kedua-dua lelaki berusia 37 dan 40 tahun berkenaan yang masing-masing memandu kereta jenis Proton Wira serta Proton Persona kemudiannya berjaya ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 11 PATI warga Bangladesh yang cuba diseludup masuk dalam tangkapan di Persimpangan Kampung Tali Air, dekat Banting, Selangor. 

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam tangkapan awal pagi tersebut, sepasukan anggota yang membuat rondaan di kawasan Tanjung Sepat telah terlihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti bagi tujuan pemeriksaan. 

"Pemandu kereta tersebut bagaimanapun telah bertindak melarikan diri sebelum anggota bertugas menghubungi Markas Taktikal PGA Pantai Morib bagi mendapatkan bantuan. 

"Sepasukan anggota telah dikerahkan ke lokasi untuk membantu dan seterusnya berjaya menahan dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona," katanya pada satu sidang akhbar sebaik selesai program gotong-royong amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini. 

Menurut Abdul Ghani, pemeriksaan yang dilakukan ke atas dua buah kereta berkenaan telah menemui seramai 11 orang pati yang dipercayai cuba diseludup masuk melalui pantai Tanjung Sepat. 

"Kesemua 11 lelaki warga Bangladesh berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi penempatan sementara. 

"Anggota bertugas kemudiannya membawa kesemua tahanan ke balai polis untuk diproses sebelum 11 pati berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," tegas beliau. 

Jelas Abdul Ghani, pihaknya percaya dua lelaki tempatan berkenaan merupakan anggota satu sindiket penyeludupan manusia dan tindakan mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan sedang giat dilakukan. - K! ONLINE