Petron dalam satu kenyataan akhbar berkata, permohonan tersebut telah dibuat sejak Oktober 2016.

"Pada mulanya kami memohon untuk menjadi pembekal kerajaan pada Mac 2015 dan telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan (MoF) pada Novemver tahun yang sama sebagai pembekal peralatan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada MoF atas kepercayaan dan keyakinan untuk melantik Petron sebagai salah satu pembekal api yang diakreditasi untuk kerajaan pada 3 Ogos yang lalu.

"Seperti syarikat dan pembekal bahan api yang lain, kami telah melalui proses akreditasi yang betul dan mengikut semua proses wajar yang telus seperti digariskan oleh MoF," katanya.

Menurut kenyataan itu, Petron menghargai usaha untuk menggalakkan persaingan sihat dan sentiasa komited bagi memenuhi keperluan bahan api pengguna dengan membekalkan produk premium.

"Kami akan terus membuat pelaburan besar dalam industri hiliran minyak dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan menaik taraf kilang penapisan, mengukuhkan keupayaan logistik dan mengembangkan rangkaian stesen kami.

"Kami berharap akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna pada masa hadapan," tambah kenyataan itu.

Baru-baru ini, sepucuk surat daripada Kementerian Kewangan mengenai pelantikan Petron sebagai salah satu pembekal minyak kepada kenderaan kerajaan Persekutuan tular di media sosial.

Ia menjadi pertikaian apabila anak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mirzan merupakan pengarah dan pemegang saham syarikat induk Petron, Petron Corporation yang berpangkalan di Filipina.

Bagaimanapun, Petron Malaysia pada tahun 2013 dilaporkan berkata, Mirzan tidak mempunyai sebarang saham atau pe­ranan dalam operasi syarikat itu di negara ini.

MoF sebelum ini turut menjelaskan bahawa Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan Persekutuan.

Kementerian itu menegaskan Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel semenjak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan. - K! ONLINE