Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, program tersebut dianjurkan untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti yang diadakan di inap desa berkenaan selain merasmikan ia sebagai produk pelancongan di daerah Jelebu.

Katanya, program yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Jelebu dan Lembaga Pelancongan Ne­geri Sembilan dengan kerjasama Inap Desa Sungai Buloh itu turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang satu hari program berlangsung.

“Pesta Mengemping adalah aktiviti keramaian yang dijalankan semasa musim menuai padi di Kampung Sungai Buloh di mana semasa pesta ini, penduduk kampung akan berkumpul dan bersama-sama menyediakan emping padi.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti lain diadakan seperti bola sepak sawah, mengoca (menangkap ikan dengan tangan), Jelebu Eco Ride 2019, pertandingan memikat burung, persembahan kebudayaan serta gerai pameran dan jualan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang berkata, program tersebut turut memperkenalkan trek motocross sejauh 40 kilometer yang melalui beberapa produk eko-pelancongan seperti Jeram Enggang, Jeram Gajah, Jeram Su­ngai Pah dan Sungai Buloh di daerah berkenaan. - K! ONLINE