Kira-kira 1,000 penduduk tempatan dan warga asing dilihat turun ke pantai bagi mencari kepah sejak pagi lagi sehingga petang sejak semalam.

Ada di antara mereka yang membawa timba atau beg plastik masing-masing untuk mengisi kepah yang dikutip.

Seorang penduduk Kuala Muda, Marzuki Husain, 60, berkata, hidupan laut bercengkerang tersebut dikesan muncul dengan banyak di kawasan itu sejak kira-kira dua hari lalu lagi.

"Kawasan ini jadi macam pesta mencari kepah apabila penduduk turun ke pantai sejak pagi lagi dan pergi sejauh 1 kilometer dari pantai semasa air laut surut.

"Kawasan ini memang sejak dahulu lagi menjadi tempat kepah membiak," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut Marzuki lagi, ada di antara mereka yang memperolehi kepah di antara tiga hingga empat tin minyak tanah sehari yang kemudiannya dimasak atau dijual.

"Ia begitu sedap bila dimasak gulai dengan ubi keledek selain isinya boleh digoreng dengan bihun," katanya lagi.

Sementara itu, peniaga kepah, Rozimi Hamad, 28, berkata, hidupan eksotik yang digemari pelbagai bangsa itu dijual pada harga RM5 sekilogram.

"Ramai penduduk ambil peluang mencari kepah pada musim ini dan mereka datang jual kepada saya sebelum saya menjualnya.

"Orang luar yang datang ke sini pasti tidak ketinggalan membelinya yang setiap sekilogram terdapat kira-kira 20 kepah," katanya. - K! ONLINE