Demikian ditegaskan Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang turut menyatakan aktiviti membaca bahan seperti buku ilmiah, agama, novel, majalah dan sebagainya mampu penjanaan idea, kemahiran berfikir, berkomunikasi sekaligus mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih progresif pada masa depan.

"Saya fikir, semua rakyat tahu bahawa Malaysia dalam proses untuk menuju sebuah negara maju. Dalam usaha kita mengejar kemajuan itu, maka ilmu adalah kunci segala-galanya.

"Untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti bukan sahaja terhad di perpustakaan dan internet sahaja. Sebaliknya, penganjuran pesta buku juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya generasi muda untuk mendapatkan sumber-sumber bacaan yang bermakna," katanya.

Abu Bakar berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Hasani D' Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi di sini hari ini. 

Sementara itu, penganjur pesta buku tersebut, Farook Hassan Mohd. Hussin ketika ditemui menyatakan pihaknya telah mengadakan pesta itu dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Langkawi dan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi sejak 20 Disember 2018 dan berakhir pada hari ini. 

Katanya, selain buku serta bahan bacaan yang terbaik, pihak turut menawarkan pelbagai jenis kelengkapan pembelajaran termasuk pakaian seragam sekolah pada harga yang menarik kepada para pengunjung. 

"Sebenarnya, penganjuran pesta buku ini merupakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan serta kelengkapan sekolah pada harga yang rendah. 

"Matlamat kita mengadakan pesta ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban khususnya para ibu bapa dapat menguruskan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka," ujarnya yang turut menyatakan pesta buku tersebut akan diteruskan pada tahun depan.