Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 60 tahun itu mendakwa menerima panggilan tersebut pada pukul 4.30 petang semalam yang memaklumkan namanya telah digunakan untuk membuka sebuah syarikat yang kini berhutang sebanyak RM19,300.

Katanya, pemanggil itu mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan namun bersedia membantu mangsa dengan menghubungkan wanita berkenaan kepada seorang individu.   

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lelaki dikenali sebagai Datuk Sapari yang dikatakan boleh membersihkan namanya dan seorang wanita kononnya daripada Bank Negara. 

"Suspek telah meminta mangsa memberikan butiran peribadinya namun tidak lama kemudian mangsa berasa tidak sedap hati menyebabkan dia ke bank untuk memeriksa akaunnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa yang mendapati wang simpanannya berkurangan sebanyak RM30,000 kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama