Tertuduh, R. Thangavelu, 61, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu pada 10 Ogos lalu bagaimanapun menukar pengakuan hari ini selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, Thangavelu didakwa menerima wang tunai RM300 dengan tiada balasan daripada Mohamad Imran Abdullah, yang mempunyai hubungan kerja rasmi sewaktu dia bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknikal jabatan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabatnya di Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains di sini kira-kira pukul 4.10 petang 4 September 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

Indra Nehru menetapkan tarikh 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh sementara menunggu laporan penuh dan fakta kes.

Mahkamah turut melanjutkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurul Wahida Jalaluddin manakala Thangavelu diwakili peguam, M. Kathan. - K! ONLINE