Lebih tragis si pembunuh bukanlah orang lain, ibunya sendiri. Kemurungan dan halusinasi dikatakan antara penyebab ibu kanak-kanak malang itu bertindak sedemikian rupa.

Belum pun reda kisah tragis di Maran, hati rakyat Malaysia direntap lagi sehari selepas itu.

Kali ini, giliran seorang lelaki muda di Kepong, Kuala Lumpur pula bertindak gila.

Bagaikan dirasuk syaitan, pemuda berusia 21 tahun itu tergamak menikam sehingga 30 kali tubuh badan anak saudaranya yang baru berusia 3 tahun di rumah budak itu sendiri.

Kisah-kisah tragis dan kejam apatah lagi melibatkan nyawa anak-anak kecil yang tidak berdosa membuatkan kita terfikir adakah peningkatan kes penyakit mental manusia mengiringi kemajuan dan kemodenan hari ini?

Ia mungkin benar kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati lebih 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau hampir 30 peratus populasi negara ini menghidap pelbagai masalah kesihatan mental.

Ia satu peningkatan sehingga 11.2 peratus berbanding kajian yang sama pada tahun 2006.

Berdasarkan statistik itu, ini bermakna daripada 10 orang kalangan kita, tiga daripadanya sedang berdepan gejala gangguan kesihatan mental.

Pun begitu hakikatnya, masalah kesihatan mental sebenarnya mempunyai pecahan kategori yang sangat besar daripada tekanan ringan membawa kepada kemurungan dan masalah jiwa.

Dalam satu temu bual yang pernah dijalankan penulis sebelum ini, pakar psikiatri, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil mendedahkan terdapat 280 jenis penyakit mental de­ngan gila hanyalah satu atau dua peratus sahaja daripadanya.

Daripada gangguan obsesif kompulsif, bipolar, fobia, trauma, psikopat, aneroksia sehinggalah skizofrenia ia adalah antara jenis gangguan mental.

Namun, tidak dapat dinafikan dalam kalangan masyarakat Malaysia, stigma ke atas perkataan masalah mental sangatlah tebal.

Sekiranya anda berjumpa pakar psikiatri untuk merawat masalah mental anda akan terus dicop gila.

Stigma-stigma seperti inilah hakikatnya menyebabkan penyakit masalah mental terus menjadi ibarat satu bom jangka dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apabila masalah tekanan, kemurungan apatah lagi skizofrenia tidak dirawat dengan betul dan tidak diberikan preskripsi ubat yang sepatutnya pesakit boleh menjadi pembunuh yang tidak pernah disangka.

Persoalannya siapakah pesakit mental dalam kalangan kita? Siapa yang mahu mengaku sakit mental, sakit otak dan sakit jiwa?

Mahu atau tidak, ahli keluarga, saudara dan rakan rapat merupakan orang terbaik untuk menghidu perubahan tingkah laku seseorang penghidap masalah mental.

Percaya atau tidak dalam kebanyakan kes pembunuhan yang dilaporkan, mangsa kepada pesakit mental kronik ialah ahli keluarga, saudara dan jiran terdekat.

Siapa mampu melupakan tragedi berdarah Gemencheh di Negeri Sembilan. Biarpun sudah lapan tahun berlalu, kisah seorang lelaki yang tergamak menyembelih bapanya serta membunuh adik perempuan, datuk serta neneknya sendiri kerana kononnya mendengar satu bisikan kuasa ­agong.

Lebih menyayat hati, lelaki itu membawa kepala bapa­nya menaiki bas sejauh 120 kilometer dari Tampin ke Shah Alam sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.