Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Besut, Terengganu, pada pukul 9.30 malam yang meminta bantuan menyelamatkan nyawa seorang pesakit,  Nik Jah Majid,  45, untuk mendapat rawatan kecemasan dalam kadar yang segera.

Menurutnya, wanita berkenaan dalam keadaan sesak nafas dan disahkan mengalami simpton mild aortic regugitation yang sukar bernafas. 

"Pesakit itu bagaimanapun berjaya distabilkan oleh petugas Klinik Kesihatan Pulau Perhentian namun perlu dihantar ke Hospital untuk mendapatkan rawatan segera. 

”Memandangkan pesakit perlu menerima rawatan segera dan pengangkutan awam laut agak sukar untuk beroperasi kerana keadaan laut yang berombak, kami segera menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Faris  Mohd. Sidek  untuk memastikan nyawa pesakit berkenaan dapat diselamatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, sebaik tiba di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan pada pukul 1 pagi dan pesakit  ditemani suaminya sebelum bergegas ke hospital berkenaan. 

Menurutnya, sehingga akhir 2018, Maritim Malaysia Kelantan telah melaksanakan sebanyak 23 pelayaran ihsan dari Pulau Perhentian atas pelbagai sebab termasuk menghantar rombongan guru sekolah yang terkandas di jeti Kuala Besut disebabkan faktor cuaca. - K! ONLINE