Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit akan terus mendapat bekalan ubat dibawah 16 program sedia ada di bawah skim tersebut yang sedia ada.

Jelasnya, sehubungan dengan penggantungan skim itu, pihak kementerian tidak mempunyai sebarang halangan atau bertindak untuk menamatkan skim bantuan kepada pesakit itu.

"Saya telah bertemu dengan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan pihaknya memaklumkan bahawa sedang mengkali semula skim tersebut.

"Kajian semula bukan bermakna kita mahu menghentikan skim tersebut sebaliknya, ia bertujuan untuk menaik taraf aspek pentadbiran skim itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Kongres ke-40 Persatuan Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.
Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan permohonan dan pemberian pek percuma ubat-ubat baru yang berkos tinggi kepada pesakit melalui PASc ditangguhkan buat sementara waktu sehingga mendapat ulasan daripada Jabatan Audit Negara.

PASc adalah skim yang ditawarkan oleh syarikat farmaseutikal kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah baik akses ubat kepada pesakit terutamanya bagi ubatan yang mahal.

Pemberian pek percuma itu dikhuatiri melanggar etika dan menimbulkan isu integriti memandangkan pemberian itu tidak dinyatakan secara terperinci dalam rekod pembelian antara pihak syarikat farmaseutikal dan fasiliti KKM. - K! ONLINE