Beliau berkata, menurut data National Renal Registry Malaysia pada penghujung tahun 2016 terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.

"Jumlah itu, bagaimanapun, akan terus meningkat berlipat kali ganda pada setiap tahun. 

"Lebih membimbangkan, 64 peratus pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis adalah penghidap diabetes atau kencing manis," katanya dalam sidang media selepas merasmikan laman rasmi Facebook Page, MYBuahPinggang di sini hari ini.

Pada masa sama, Bahari turut menggalakkan pesakit kronik buah pinggang tahap 5 menerima rawatan Peritoneal Dialisis berbanding Hemodialisis.

Menurutnya, Peritoneal Dialisis atau proses cuci air di dalam rongga perut adalah pilihan dialisis yang memberi kualiti hidup yang lebih baik jika dibandingkan dengan hemodialisis (cuci darah).

"Buat masa ini, kami masih lagi memberi kebebasan kepada pesakit untuk memilih jenis rawatan dialisis. Rawatan ini telah dimulakan sejak 1960-an cuma ia tidak popular sebab tidak diuar-uarkan kepada masyarakat.

"Hanya 13 peratus pesakit baru buah pinggang yang menerima kaedah rawatan ini pada 2016 berbanding 10 peratus  pada 2011. Untuk itu, kami menyasarkan 30 ke 40 peratus pesakit akan menggunakan kaedah rawatan ini bermula tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah terbaik dalam merawat masalah buah pinggang adalah melalui transplan atau pemindahan buah pinggang, namun, tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap pendermaan organ masih rendah.

"Sekarang, nisbah tiga penderma untuk sejuta penduduk di seluruh negara dan jumlah ini amat menyedihkan, katanya. - Bernama