Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, pembangunan dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu menelan belanja keseluruhan sebanyak RM816 juta dengan empat lagi projek masih dalam peringkat perancangan.

Menurutnya, sebanyak empat klinik kesihatan jenis 3 dengan kuarters kakitangan bakal siap tahun hadapan di Besut, Marang, Manir serta Chendering.

"Tiga klinik kesihatan jenis 7 di Kampung Pasir Raja dan Kampung Tok Kah, Dungun termasuk Kampung Pasir Gajah, Kemaman turut dibina sebagai projek gantian berikutan premis sedia ada sering ditenggelami banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Klinik Kesihatan Marang di sini hari ini.

Jelas Mohammad, Klinik Kesihatan Marang itu menjadi model kepada projek pembangunan kesihatan yang lain berikutan proses pembinaannya kini sudah mencapai tahap 52 peratus iaitu mendahului jadual sebanyak enam peratus.  

Katanya lagi, bangunan dua tingkat yang dibina di atas tapak seluas 2.98 hektar tersebut turut dilengkapi dengan klinik pesakit luar, klinik ibu dan anak, klinik pergigian, klinik kecemasan serta perkhidmatan kawalan vektor dan mampu memberi kemudahan kepada lebih 300 pesakit setiap hari. - K! ONLINE