Pengerusi Jawatankuasan Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kajian semula status projek tersebut perlu dilakukan berikutan terdapat usaha pembayaran yang tidak mengikut status terkini projek terbabit oleh kerajaan sebelum ini.

"Projek ini bukan dibatalkan tapi ditangguhkan untuk dibuat kajian semula kerana difahamkan ada projek yang belum sampai 15 peratus siap, tetapi kerajaan Persekutuan dahulu telah bayar seolah-olah telah siap 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di sini, hari ini.

Mohammad Nizar berkata, bagi fasa pertama projek berkenaan iaitu membangunkan Pusat Pentadbiran Daerah Bagan Datuk yang baharu, sebanyak 131.52 hektar tanah telah diserahkan kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan 15 projek intitusi kerajaan di tapak projek berkenaan. - Bernama