Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, langkah berani kerajaan ini juga bermakna semua perjalanan dan perbelanjaan kerajaan kini berada di bawah pengawasan dan pemeriksaan pembangkang.

"Kita berani memberikan kerajaan kita diperiksa oleh pembangkang. Dulu skandal 1MDB disembunyikan, tak boleh cakap dalam Parlimen. 

"Dalam penglibatan saya dalam politik lebih 40 tahun, ini perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan. Sekarang Tun M (Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) tak boleh bagi tahu pengerusi PAC, jangan dedah. Bagi pembangkang lagi ada salah laku, lagi suka dia nak dedah," katanya pada ceramah Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Bandar Tun Hussein Onn dekat sini malam ini.

Pelantikan anggota pembangkang sebagai pengerusi PAC merupakan satu daripada manifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan yang telah dilaksanakan, dengan bekas timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik ke jawatan itu bulan lalu. - Bernama