PH mempertaruhkan bekas Ahli Majlis Bandaraya Peta­ling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar manakala bekas Exco Se­langor, Dr. Halimah Ali mewakili Pas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, Halimey telah menghantar borang pencalonannya pada pukul 9.10 pagi diikuti oleh Halimah lima minit kemudian iaitu pukul 9.15 pagi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya ketika membuat pengumuman di Dewan Sivik MBPJ di sini semalam.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK ketiga yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin daripada PKR pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU-14, Allahyarham Shaharuddin mengalahkan pencabarnya iaitu Datuk Yusoff HM Hanif daripada Barisan Nasio­nal (BN), Mohd. Ghazali Daud (Pas) dan calon Bebas, Dr. S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

Sementara itu di Bangi, PRK DUN Balakong menyaksikan pertembungan antara calon MCA, Tan Chee Teong dan calon PH, Wong Siew Ki.

Chee Teong, 40, merupakan Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Bangi manakala Siew Ki, 32, adalah Timbalan Setiausaha Wanita DAP Selangor.

Kedua-dua calon disahkan bertanding di kawasan tersebut oleh Pegawai Pe­ngurus Pilihan Raya, Datuk Rosli Othman selepas selesai sesi penamaan calon di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat di sini semalam.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

 

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.