Nurhidayah mati akibat dipijak dan ditendang oleh suaminya sendiri di rumah mereka di Kampung Petaling Bahagia, Jalan Puchong, Kuala Lumpur pada Mei 2013 hanya kerana menuntut cerai.

Malah sepanjang 11 tahun perkahwinan mereka, si suami yang bekerja sebagai tukang masak sering membelasah si isteri di hadapan empat anak mereka menggunakan batang joran, kasut bahkan puntung rokok.

Dalam satu kes yang lain Mei lalu, seorang suami, Sahabuddin Ahmad, 39, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana sengaja mencederakan isterinya, Siti Norlizawati Ahmad, 34, di rumah mereka di Kota Bharu, Kelantan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa bergaduh dengan mangsa selepas wanita itu menolak ajakan suaminya untuk pulang ke rumah ibunya di Pasir Puteh pada Disember tahun lalu.

Mangsa menolak ajakan itu kerana ingin pulang ke rumah ibunya yang sakit. Namun, tertuduh berang dan kemudian bertindak menyepak muka mangsa hingga mulut bengkak dan berdarah.

Hakikatnya, trend keganasan rumah tangga kebelakangan ini cukup membimbangkan. Hampir setiap minggu ada sahaja kes penderaan isteri dilaporkan oleh media massa.

Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara antara tahun 2014 hingga 2016. Daripada jumlah tersebut 74 peratus mangsa adalah isteri.

Dera merupakan satu sikap yang menunjukkan dominasi atau rasa superior seorang lelaki terhadap wanita. Tidak puas hati, baran, dadah dan minuman keras adalah antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca suami mendera isteri di negara ini.

Kalau mahu, kita boleh menyenaraikan 1,001 alasan me­ngapa seorang lelaki sanggup bertindak ganas terhadap wanita lemah bergelar isteri.

Namun, punca sebenar dalam menangani isu keganasan rumah tangga adalah disebabkan kegagalan suami mencontohi kehidupan berumah tangga Nabi Muhammad SAW.

Dalam kisah rumah tangga baginda lebih 1,400 tahun lalu, Rasulullah tidak pernah memaparkan watak pembengis, panas baran atau menyakiti isteri-isteri baginda baik dengan perbuatan mahupun perkataan.

Meskipun diangkat sebagai pemimpin agung, Rasulullah sedikit pun tidak berasa kekok meringankan tugas isteri-isteri baginda melakukan kerja-kerja rumah. Bahkan, baginda sanggup menjahit pakaian sendiri, memerah susu kambing dan melaksanakan tugas-tugas lazim seorang lelaki di rumah.

Begitu juga dengan kebijaksanaan Rasulullah dalam menangani sifat cemburu Aishah yang sampaikan terpecahkan pinggan berisi makanan disebabkan perasaan tersebut. Sunah Rasulullah cukup jelas menggambarkan persona seorang lelaki luar biasa yang mampu memahami sahsiah dan keperluan seorang wanita.

Malangnya, daripada sekian banyak teladan yang ditunjukkan Rasulullah dalam kehidupan berumah tangga, namun yang sering diuar-uarkan hanyalah amalan berpoligami dan usia Siti Khadijah yang lebih tua daripada baginda. Seolah-olah dua perkara ini sahaja yang ‘dihidupkan’ dalam perkahwinan Rasullullah.

Kepada pihak berkuasa, mungkin boleh mempertimbang satu modul tentang sirah Rasulullah dalam kursus-kursus perkahwinan agar bakal raja sehari dapat mempersiap diri mereka sebelum melayari alam rumah tangga.

Sebagai individu pula, lakukanlah sedikit pelaburan dengan memiliki buku berkaitan biografi Rasulullah supaya kita dapat mengenali baginda dengan lebih dekat lagi.

Mudah-mudahan dengan usaha menghidupkan sunah Rasulullah menjadikan asbab untuk kita mendapat kemuliaan dan rahmat Allah. Salam Maulidur Rasul!