Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, persidangan itu  anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat Orang Asli, masyarakat sivil dan ahli akademik.

"Persidangan itu akan didahului dengan perbincangan meja bulat pada 6 Jan untuk mengenal pasti isu-isu utama yang dihadapi masyarakat itu termasuk hak tanah, akses infrastruktur, pendidikan, jurang digital dan pemerkasaan belia.

"Penemuan serta  resolusi daripada  persidangan kebangsaan ini akan dibawa kepada masyarakat Orang Asli untuk pendapat mereka dan selepas itu suatu pelan tindakan induk akan disediakan untuk dibentangkan ke kabinet bagi pengesahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada 1 Januari supaya satu persidangan Orang Asli peringkat kebangsaan diadakan untuk merumuskan satu pelan tindakan bagi menaikkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Waytha yakin persidangan itu dan pelan tindakan Orang Asli yang akan digubal nanti dapat menangani isu-isu yang sekian lama dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dan sekali gus memenuhi janji manifesto pilihan raya kerajaan Pakatan Harapan kepada masyarakat Orang Asli. - Bernama