Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran ketika mengumumkan penangguhan tersebut berkata sungguhpun pelbagai spekulasi timbul mengenai beberapa rang undang-undang (RUU) yang telah diluluskan, namun dewan itu bukan tempat anggota Dewan mempraktikkan politik kejumudan.

"Harapan saya adalah dalam sidang-sidang Dewan Negara yang akan datang, kualiti dan cara perbahasan akan dipertingkatkan. Dan saya ingin menegaskan, setiap ahli wajib patuh kepada peraturan mesyuarat Dewan yang mulia ini agar Dewan ini sentiasa dihormati," katanya.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-14 itu meluluskan lapan RUU termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, RUU Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018.

Turut diluluskan adalah RUU Kastam (Pindaan) 2018, RUU Akta Zon Bebas (Pindaan) 2018, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018 dan RUU Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) (Pembubaran) 2018. - Bernama