Agensi berita Palestin, yang memetik kenyataan Pejabat Sheikh Al-Azhar, melaporkan upacara pembukaan akan dimulakan dengan ucapan Sheikh Al-Azhar, Dr Ahmed Muhammad Ahmed El-Tayeb selaku Presiden Majlis Ketua-Ketua Umat Islam diikuti ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Persidangan itu, yang dinaungi Presiden Mesir Abdul Fattah as-Sisi, berlangsung selama dua hari dan dihadiri perwakilan dari 86 negara, termasuk Malaysia.

Malaysia diwakili Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir Pope of Alexandria and Patriarch of the See of St Mark, Tawadros II; Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Al-Othaimeen; Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit; Menteri Hal Ehwal Islam Saudi, Saleh bin Abdul-Aziz Al ash-Sheikh; Speaker Parlimen Arab, Meshal al-Selmi dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Dr Mohammed bin Abdul Karim Al-Issa.

Sesi pertama bertema 'Identiti Arab Baitulmaqdis (amp) Misinya' yang bakal dipengerusikan bekas Perdana Menteri Lubnan, Fouad Siniora, akan dibahagikan kepada empat topik iaitu Status Agama Universal Bagi Baitulmaqdis; Al-Quds dan Ketamadunannya... Sejarah dan Masa Kini; Kesan Mengubah Identiti Dalam Penyebaran Kebencian serta Menyangkal Dakwaan Zionis Mengenai Al-Quds dan Palestin.

Pada hari terakhir, persidangan dijangka membuat ketetapan dan mengeluarkan Deklarasi Kaherah mengenai Baitulmaqdis. - Bernama