Mereka bertanya seolah-olah tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Namun jawapan bilakah Parlimen akan dibubarkan seterusnya tarikh hari pembuangan undi terus misteri.

Hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada jawapan kepada soalan seluruh rakyat Malaysia yang berminat dengan PRU-14.

Perdana Menteri pada pembukaan Persidangan Parlimen ke-13 pada 5 Mac lalu turut mencuit hati seluruh rakyat Malaysia apabila beliau pula bertanya soalan sama kepada wartawan.

Perdana Menteri mungkin bertanya demikian kerana menjangkakan akan ada dalam kalangan wartawan akan mengajukan soalan sama kepada beliau.

Mungkin sebelum wartawan bertanya, baik beliau berseloroh terlebih dulu.

Demikianlah bahang PRU-14 yang disifatkan sebagai bapa segala pilihan raya yang semakin terasa sejak pada awal tahun ini.

Debaran pembubaran Parlimen itu juga boleh dirasai menerusi isu-isu politik yang semakin banyak disebarkan tidak kira dalam media cetak mahupun dalam media sosial.

Penyebaran maklumat pada musim pilihan raya membabitkan semua pihak iaitu parti pembangkang mahupun parti kerajaan. Maklumat-maklumat yang dijaja pada musim pilihan raya semuanya untuk meraih undi.

Justeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendengar atau menerima maklumat menjelang musim  pilihan raya harus berfikiran bijak dan bukannya menerima bulat-bulat apa yang disebarkan.

Selain itu, PRU yang datang hanya dalam tempoh lima tahun sekali sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh rakyat. Bagaimanapun, amat mengejutkan apabila Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah mendedahkan seramai 3.6 juta yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

SPR telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan semua rakyat negara ini yang sudah mencapai umur 21 tahun supaya mendaftar sebagai pengundi iaitu seperti menerusi kempen yang disalurkan menerusi media cetak dan elektronik bagi mengingatkan mereka yang sudah layak mengundi mendaftar sebagai pengundi.

SPR sendiri telah turun padang seperti ke pusat-pusat pengajian tinggi, kawasan pedalaman dan pusat beli-belah bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendaftar sebagai pengundi.

 Bagaimanapun, usaha tersebut belum lagi mencapai sasaran sebenarnya. Bagi mereka yang mendaftar sebagai pengundi pula, bila tiba tarikh pembuangan undi tidak semua tampil menunaikan kewajipan masing-masing. Pada PRU-13, direkodkan jumlah mereka yang tidak keluar mengundi sebanyak 15.2 peratus. Peratus keluar mengundi 84.8 peratus.

Antara alasan tidak mendaftar sebagai pemilih atau individu tidak keluar mengundi yang sering kedengaran ialah tidak berminat campur urusan politik, mengundi tidak memberi manfaat dan alasan lebih berani menyifatkan parti mana sekalipun berkuasa kedua-keduanya bermain kotor.

Bagaimanapun, kemungkinan juga golongan yang memekakkan telinga dan sengaja membutakan mata apabila tiba hal-hal berkaitan politik mungkin kerana mereka pernah mengalami sendiri kerenah pihak-pihak yang berkuasa selepas memenangi pilihan raya.

Adakah perkara biasa pada musim pilihan raya segala janji ditaburkan oleh calon-calon yang mahu mendapat kuasa namun selepas hajat tercapai sikap dan sifat ahli politik ber­kenaan berubah sekelip mata dengan tidak lagi mementingkan pengundinya.

Memang benar ahli politik senantiasa sibuk tetapi mengecewakan pengundi-pengundi yang mungkin memerlukan bantuan atau perhatian merupakan tanggungjawab ahli politik yang dipilih.

Persepsi sebegini yang kekal dalam sebilangan rakyat Malaysia inilah mungkin mendorong mereka berasa benci untuk mendaftar sebagai pemilih apatah lagi keluar mengundi.