Majlis Sanjungan Budi itu bagi meraikan bekas pengetua sekolah itu, Shabariah Othman yang memilih untuk bersara awal pada umur 56 tahun.

Kedua-dua pasangan suami isteri bahagia yang telah berkahwin selama 34 tahun itu dirai seperti pasangan pengantin baharu.

Mereka disambut dengan diarak dengan menggunakan kereta kuda, memakai baju persalinan pengantin, persembahan silat dan paluan kompang.

Lebih unik, Shobariah dan pasangannya, Mohamad Sokri Husin bersanding di pelamin khas yang disediakan selain terdapat majlis penyerahan cincin perkahwinan.

"Saya sebenarnya amat terkejut dan terharu dengan sambutan persaraan awal yang cukup istimewa ini.

"Setelah berkhidmat di sekolah ini selama 24 tahun, berat rasanya meninggalkan namun, saya perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain suami yang telah bersara," katanya ketika ditemui di Dewan Az-Zahra, SMK Agama (P) Alawiyah di sini hari ini. - K! ONLINE