Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, suspek berusia 29 tahun tersebut dikatakan dalam usaha memecah masuk sebuah rumah sebelum kejadian itu disedari jiran yang menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika cubaan melarikan diri dengan memanjat bumbung, suspek telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

"Dia terpaksa dirawat di Hospital Seberang Jaya kerana patah pergelangan tangan kiri dan mengalami pendarahan dalam perut.

"Selain itu, suspek dipercayai patah tulang belakang dan tulang punggung serta kedua-dua kakinya tidak boleh bergerak, namun sedang menunggu pengesahan doktor mengenai kecederaan itu," katanya di sini sebentar tadi.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE