Cameron Diaz pula menerusi majalah In Touch Weekly mengakui dia menghisap 20 batang rokok sehari.

Dua aktres tersohor Hollywood itu sebenarnya secara terbuka telah mendedahkan tentang ketagihan luar biasa mereka terhadap rokok.

Justeru, adakah mereka berbangga menjadi spesies perokok tegar?

Jawapannya tidak.

Diaz mengambil keputusan untuk berhenti merokok sejak tahun 2003 atas nasihat kedua-dua ibu bapanya.

Theron pula kini sudah berjaya menghilangkan ke­tagihannya terhadap rokok menerusi teknik dikenali sebagai hipnoterapi yang diasaskan oleh pakar terapi, Kerry Gaynor yang berpusat di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Theron disertai beberapa pelakon terkenal Hollwood lain seperti Ben Affleck, Matt Damon dan Paul Rudd yang sukses meninggalkan tabiat buruk itu menerusi hipnoterapi.

Jika para bintang tersohor Hollywood itu insaf dan memilih untuk berhenti merokok, perkara sebaliknya pula bagi golongan perokok di Malaysia, terutama dalam kalangan lelaki.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa dianggarkan seramai 20,000 lelaki dewasa di negara ini me­ninggal dunia pada setiap tahun angkara komplikasi daripada tabiat merokok.

Impaknya kerajaan Malaysia dijangka bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat me­rokok khususnya masalah jantung koronari dan kan­ser paru-paru mencecah RM7.4 bilion menjelang tahun 2025 kelak.

Justeru, penulis ingin bertanya khususnya buat pe­rokok tegar di luar sana apakah kenikmatan yang didapati daripada merokok?

Ini kerana ketika remaja, penulis sendiri mengakui pernah cuba menghisap rokok, namun cukup sekali sebab tidak memperoleh sebarang nikmat pun.

Lalu penulis bertanyakan kepada rakan sepejabat yang merupakan seorang perokok tegar.

Dengan bangga dia mengakui tentang kenikmatan dialaminya sebaik sahaja asap rokok yang dihisap memasuki paru-parunya.

“Setiap kali hisap rokok saya akan berasa lega, terutama apabila ia dihisap selepas makan sehingga menjadikan perut saya rasa cukup selesa,” ujarnya.

Dia mengakui biasanya menghisap antara 14 hingga 15 batang rokok sehari dan jumlahnya pernah mence­cah 20 batang sehari.

Bercakap mengenai kos yang dihabiskan untuk membeli rokok, katanya, dia langsung tidak berkira biarpun kerajaan giat menaikkan harga rokok.

“Biasanya saya habiskan RM17 sehari untuk membeli sekotak rokok daripada jenama terkenal.

“Kalau kerajaan naikkan harga rokok pun, saya tak kisah sebab boleh membeli rokok seludup pada harga semurah RM5 sekotak.

“Saya tak kisah rasa rokok seludup itu tak sama seperti rokok original, yang penting asalkan saya dapat merokok. Kalau rasa tak sedap, saya hisap separuh dan buang,” akuinya.

Bagi penulis, ia suatu realiti yang cukup menakutkan sebab apa juga tindakan kerajaan bagi mengurangkan jumlah perokok tegar di negara ini, ia seperti tidak akan berkesan andai kesemua mereka mempu­nyai fikiran seperti rakan sepejabat penulis itu.

Dan tidak seperti Charlize Theron, perokok tegar langsung tidak terfikir atau peduli bahawa mereka merokok untuk mati!