"Kami teruja dan gembira kerana berjaya mencatat kejayaan ini menjelang akhir April," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Zahari Husin.

Menurutnya, Perodua sedang berusaha meningkatkan kecekapannya untuk memastikan penghantaran dibuat dalam dalam tempoh yang wajar.

"Ketika ini, tempoh menunggu untuk varian 1.5L Myvi adalah di bawah tiga bulan. Bagaimanapun, varian 1.3L boleh diserahkan hampir  serta-merta," kata Zahari.

Myvi generasi ketiga adalah model yang paling canggih dan asli dalam sejarah 25 tahun Perodua, menampilkan inovasi Malaysia seperti pembaca kad tol terbina dalam dan pendingin udara memori digital.

Perangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) daripada Januari hingga Mac mendedahkan bahawa pengeluar kereta kompak itu menjual 55,568 kenderaan berbanding 135,140 jumlah keseluruhan industri, menguasai 41 peratus pasaran.

"Ini merupakan peningkatan lebih 10.5 peratus berbanding 50,260 unit yang dicatat  pada suku pertama 2017, menjadikannya jualan tertinggi pada suku pertama bagi Perodua dari segi jualan," katanya.

Jualan 55,568 tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza. - Bernama