Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee (Gambar kecil) berkata, permohonan skim itu menawarkan 104 unit rumah fasa pertama di Durian Tunggal yang berharga RM180,000. 

“Menerusi skim ini, belia yang berkelayakan boleh menikmati subsidi pembelian rumah pada harga 10 peratus daripada harga pasaran. 

“Subsidi tersebut serta bayaran guaman dan duti setem akan dibiayai oleh pihak pemaju,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, antara syarat-syarat yang dikenakan adalah pemohon perlu berusia antara 18 hingga 35 tahun, pendapatan isi rumah bulanan bawah RM8,000 dan warga Melaka atau pemastautin tetap selama lima tahun ke atas di negeri ini.

Chee Yee berkata, skim perumahan itu merupakan inisiatif Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) merupakan skim perumahan belia yang pertama di negara ini.

Jelasnya, borang permohonan boleh diperolehi di JBS Melaka, LPM Melaka dan pihak pemaju. - K! ONLINE