Menurut kenyataan Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini, calon dinasihatkan supaya membuat permohonan awal tanpa menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Calon yang cemerlang dalam akademik, memiliki sahsiah terpuji dan jati diri yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kokurikulum dipelawa untuk mengikuti Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).

"Mara juga mengutamakan pelajar yang berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapat pendidikan terbaik. Melalui pendekatan ini, ia akan memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar dari golongan ini untuk mengikuti pengajian di MRSM," menurut kenyataan itu.

MRSM menyediakan program berteraskan kurikulum kebangsaan dan kurikulum antarabangsa yang menekankan disiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan insan cemerlang yang holistik dan berintegriti.

Sebanyak lima program ditawarkan kepada pelajar Tingkatan 1 di MRSM iaitu International General Certificate of Secondary Education (IGSCE), International Bacclaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), Program Ulul Albab, Program Teknikal dan Program Premier manakala dua program iaitu Program Premier dan Program Khas Pendidikan (PKP) ditawarkan kepada pelajar Tingkatan Empat.

Maklumat lanjut mengenai permohonan boleh didapati di portal rasmi Mara melalui pautan www.mara.gov.mydan akaun facebook.com/majlisamanahrakyat atau hubungi Mara Call Centre di talian 03-2613 2000. - Bernama