Seawal pukul 6.30 pagi, SEVRR telah mula menerima kehadiran peserta yang rata-ratanya ingin merasai pengalaman menyertai perlumbaan tersebut yang dianggap sebagai acara perlumbaan berhalangan terbaik di dunia.

Pengarah Perlumbaan Spartan Race Malaysia, Douglas Lau berkata, perlumbaan itu merupakan siri 'sprint' dan perlumbaan Spartan yang pertama dianjurkan pada tahun ini.

“Perlumbaan Spartan Sprint ini juga merupakan yang kedua kalinya dilaksanakan di SEVRR dengan yang pertama berlangsung pada tahun lalu.

“Kami memilih SEVRR sebagai lokasi perlumbaan siri 'sprint' kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Selain terletak di kawasan yang jauh daripada kesibukan kota, persekitaran resort ini yang dikelilingi alam semula jadi seperti bukit bukau, sungai dan kawasan hutan membolehkan kami menggunakannya sebagai sebahagian daripada bentuk halangan semula jadi,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan tersebut petang tadi.

Bagi acara Spartan Sprint, empat kategori dipertandingkan iaitu elit, kumpulan usia, terbuka dan terbuka khas untuk pelajar.

Menurut Douglas lagi, selain peserta dari Malaysia, perlumbaan tersebut turut mendapat penyertaan daripada pelumba dari Brunei, Singapura, Filipina, Australia dan Kanada.

Perlumbaan tersebut turut mencatat sejarah yang tersendiri apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mencemar duli bagi menyertai perlumbaan tersebut.

Dalam pada itu, jelas beliau lagi, selain Spartan Sprint, terdapat dua lagi perlumbaan yang akan dijalankan pada Julai dan Disember ini.

Katanya, perlumbaan Spartan Trifecta Weekend dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 29 Julai di Putrajaya melibatkan tiga jenis perlumbaan iaitu 'sprint', 'super' dan 'beast', manakala Kejohanan Spartan Asia Pacific akan berlangsung di Iskandar Puteri, Johor, namun tarikh masih belum ditetapkan.

“Perlumbaan Spartan Trifecta Weekend melibatkan jarak kira-kira 13 kilometer (km) dengan hampir 30 jenis halangan, manakala Kejohanan Spartan Asia Pacific pula melibatkan jumlah perlumbaan melebihi 40km dengan lebih 50 halangan.

“Apa yang menarik mengenai lokasi perlumbaan di Iskandar Puteri ialah ia merupakan kali kedua dianjurkan di lokasi berkenaan dan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang dipilih untuk menganjurkan kejohanan tersebut di rantau Asia Pasific,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEVRR, Datuk Stanley Chew berkata, beliau berbangga apabila resort berkenaan dipilih buat kali kedua sebagai lokasi penganjuran perlumbaan tersebut yang sememangnya mendapat tempat dalam kalangan peminat di negara ini.

“Kami di SEVRR akan sentiasa memberi yang terbaik terhadap penganjuran aktiviti seperti ini, apatah lagi apabila perlumbaan Spartan sememangnya merupakan antara acara yang dinanti-nantikan oleh para penggemar sukan lasak.

“Diharapkan dengan adanya acara seperti ini, ia akan memberi faedah yang besar bukan sahaja memperkenalkan Semenyih kepada peserta yang datang dari seluruh pelusuk negara, tetapi juga kepada peserta warga asing.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat menonjolkan keindahan alam semula jadi negara ini kepada mereka,” katanya. - K! ONLINE