Jelas Rusdi, program tersebut ketika ini telah dijalankan di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak antaranya di Sibu, Bintulu, Miri dan Tawau bagi memberi pendidikan kepada anak-anak Indonesia yang tidak mempunyai dokumen lengkap di sana.

“Saya ingin meminta izin kerajaan Malaysia untuk membenarkan kami membuka sekolah-sekolah CLC ini di Semenanjung Malaysia, buat masa ini sudah lebih dua ratus buah CLC telah dibuka di dua buah negeri itu.

“Program CLC ini begitu penting bagi kami bukan hanya kerana pendidikan kanak-kanak ini malah boleh menjadikan ibu bapa mereka lebih rajin untuk bekerja bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Perjumpaan Media Malaysia di pejabat Kedutaan Indonesia dekat sini hari ini.

Tambah Rusdi, pihaknya mendapati hampir puluhan ribu anak-anak Indonesia di Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai dokumen lengkap tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya dan berharap agar kerajaan Malaysia mempertimbangkan hasrat mereka.

“Kalau anak-anak ini mempunyai dokumen lengkap, mereka boleh belajar di sekolah biasa mahupun sekolah kami. Bukan hanya masalah dokumen, ada juga yang ibu bapa mereka tidak punyai wang yang cukup untuk membiayai pendidikan.

“Pihak pemerintah Indonesia akan menyediakan semua kemudahan termasuk buku serta bahan-bahan pendidikan lain bagi menyempurnakan CLC ini,” katanya.

Tambahnya, program CLC ini bukan hanya memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya malah mampu membantu kerajaan Malaysia bagi mendapatkan pekerja-pekerja mahir selepas mereka menamatkan pembelajaran mereka.

“Program CLC yang disediakan pemerintah Indonesia ini ternyata menepati peluang pekerjaan di Malaysia, antara pendidikan vokasional yang dilaksanakan adalah perhotelan dan kulinari.

“Ternyata pelajar-pelajar lepasan CLC ini sudah banyak mengisi pekerjaan di Sabah dan Sarawak dalam bidang masing-masing, CLC adalah satu program persediaan utntuk terus bekerja,” katanya. -K! ONLINE