Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata, bangunan yang berusia lebih 20 tahun di negara ini perlu diperiksa setiap tahun.

"Pengauditan itu perlu melibatkan pemeriksaan secara menyeluruh mengenai pendawaian elektrik dan kemudahan yang disediakan serta mengenal pasti pelbagai bahaya dan risiko di dalam bangunan tersebut," katanya bagi mengulas mengenai kebakaran yang berlaku di Makmal Patologi, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

"Pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan audit itu mesti mengenal pasti tahap keselamatan termasuk bahaya kebakaran yang boleh disebabkan oleh litar pintas, pendawaian lama dan salutan mudah terbakar," tambah Lam Thye.

Beliau berkata, pemeriksaan audit itu berupaya mengenal pasti keselamatan dan kemudahan sesuatu bangunan, supaya tindakan segera dapat diambil untuk membetulkan keadaan.

"Kebakaran yang memusnahkan sebahagian Jabatan Forensik HKL menunjukkan kebakaran boleh berlaku di bangunan-bangunan penting, pada bila-bila masa," katanya.

Lee mengingatkan insiden sama telah  berlaku sebelum ini, iaitu kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 25 Okt 2016 yang mengorbankan enam pesakit termasuk empat wanita. - K! ONLINE