69 Komando merupakan unit elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) paling digeruni musuh kerana memiliki kepakaran tempur di hutan yang tinggi semasa memerangi pengganas komunis.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, wajar kisah keberanian 69 Komando difilemkan agar perjuangan pasukan berkenaan diketahui umum terutamanya generasi muda.

Menurut beliau, kejayaan filem Paskal misalnya boleh dijadikan contoh bagaimana kisah ketenteraan tempatan berjaya mendapat kutipan pecah panggung selain membangkitkan semangat patriotik penonton.

"Kerajaan negeri Perak turut merasa bangga dengan sejarah pasukan 69 Komando apatah lagi kerana unit elit PDRM ini berpengkalan di Kem Ulu Kinta, Ipoh sejak ditubuhkan pada tahun 1969.

"Jadi sekiranya pihak 69 Komando ada cadangan untuk mengangkat kisah sejarahnya ke layar perak maka kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis prapelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di Pusat Latihan Udara PDRM di sini semalam.

Hadir sama Komander Pasukan 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff.

Sementara itu, mengulas tentang cadangan mengangkat kisah pasukan berkenaan ke layar perak, kata Abdul Razak, pihaknya sebelum ini pernah dihubungi beberapa syarikat penerbitan filem.

Katanya lagi, bagaimana pun buat masa ini belum ada perbincangan lanjut berhubung perkara berkenaan tetapi pihaknya tidak menolak jika ada mana-mana penerbit yang ingin menjayakan cadangan tersebut.

"Kami amat berbesar hati sekiranya ada pihak ingin menerbitkan filem 69 Komando. Ia bukan tujuan untuk berbangga tetapi memaparkan kisah perjuangan warga pasukan ini untuk dikongsi umum," ujarnya.

Sebelum ini, filem aksi ketenteraan, Paskal yang diterbitkan tahun lalu menjadi sebutan apabila ramai penonton mengakui kagum dengan kehebatan pasukan khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Filem arahan Adrian Teh ini berjaya mempamerkan keperwiraan anggota Paskal yang diterjemahkan di layar perak apabila mencatatkan kutipan sebanyak RM30.5 juta.

Ia dibarisi pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Gambit dan Jasmine Suraya Chin. 

Menerusi filem ini, umum dapat tahu secara terperinci bagaimana pelaksanaan Ops Fajar 8 di Teluk Aden pada tahun 2011 membebaskan kru kapal dagang negara, MV Bunga Laurel yang cuba dirampas lanun Somalia. - K! ONLINE