Pengerusi Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, jangkaan itu berdasarkan jumlah pendaftar baharu sistem e-Kasih yang berkurangan sejak 2015.

"Pada 2015, seramai 514 pendaftar baharu telah didaftarkan menerusi sistem e-Kasih namun semakin berkurangan kepada 333 pendaftar pada 2016.

"Malah, hingga Jun tahun ini hanya terdapat 42 pendaftar baharu sistem e-Kasih.

"Pengurangan jumlah pendaftar baharu setiap tahun ini menunjukkan perkembangan yang positif bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan tegar mencapai sifar pada 2030," katanya pada Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini hari ini.

Asmaiza merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, antara langkah-langkah dilakukan oleh kerajaan negeri Perlis dan Persekutuan bagi membasmi kemiskinanan tegar di negeri itu seperti bantuan sara hidup, skim bantuan asnaf, sara hidup dan bantuan latihan kemahiran.

"Pemberian bantuan kewangan dan latihan kemahiran ini merangkumi pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Perhutanan.

"Malah, menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 1,428 unit kediaman telah disediakan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah iaitu 480 unit rumah (PPR Sena) 748 unit rumah (PPR Wang Ulu) dan 200 unit rumah di PPR Taman Wang Permai," katanya. 

Perlis mempunyai kira-kira 280,000 penduduk. - K! ONLINE