Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaccob berkata, malah arwah sebagai usahawan berjaya dan selaku pemilik syarikat turut membuat caruman tanpa pengecualian.

Katanya, pihaknya mendapati syarikat RTSB begitu patuh kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP 1969) dan tidak sekalipun ingkar dalam membuat caruman kepada Perkeso.

"Allahyarhamah dianggap Ikon Perkeso negeri Kelantan atas sikap keprihatinan dan kepatuhan membayar caruman.

"Keprihatinan pengasas produk kecantikan Dnars ini membuat caruman kepada pekerja dan mencarum pada diri sendiri adalah sesuatu yang terpuji," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada suami Allahyarhamah, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, di kediaman arwah Kampung Paloh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Allahyarhamah juga memenuhi kelayakan untuk tuntutan Pencen Penakat sebanyak RM2,212 yang akan diterima oleh suaminya sehingga akhir hayat.

Menurut Nora, syer pencen bahagian anak-anak arwah pula sehingga anaknya seramai lapan orang berumur 21 tahun.

Katanya, sewajarnya Allahyarhamah dijadikan sebagai contoh kepada majikan lain.

"Walaupun kami menyedari arwah  orang berkemampuan dan sentiasa menginfaqkan hartanya untuk kebaikan namun sebagai pencarum Perkeso ia tetap hak arwah," ujarnya. 

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal ketika ditemui berkata, dia bersama Allahyarhamah sebagai majikan  amat menitikberatkan kebajikan pekerja dan juga orang yang memerlukan.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak Perkeso telah menjalankan amanah dan tunaikan apa yang patut kepada keluarganya," katanya.

Pada Sabtu lalu,  Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan keretanya dengan sebuah lori kira-kira pukul 10.30 pagi di Pattani, Thailand.

Faziani bersama suami, Ahmad Shah Rizal dalam perjalanan ke pondok agama di kawasan itu untuk menyampaikan sumbangan zakat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu dekat sini kira-kira pukul 10 malam hari kejadian. - K! ONLINE