Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 12,392 kes telah diambil tindakan pendakwaan atas pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,019 kes atau 32.43 peratus adalah atas kesalahan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

"Walaupun kita telah melaksanakan Ops Kesan ini setiap tahun, Perkeso percaya masih terdapat majikan-majikan yang ada menggaji pekerja tetapi belum mendaftar terutamanya majikan-majikan yang baru menyertai industri," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai program penguatkuasaan ke atas dua majikan di Bandar Sri Putra, Kajang hari ini.

Terdahulu, Mohammed Azman merasmikan pelancaran Ops Kesan Peringkat Kebangsaan kali ke-10 di Bandar Baru Bangi. 

Operasi melibatkan kira-kira 500 orang petugas bahagian penguatkuasaan Perkeso itu dijalankan serentak di seluruh negara sehingga akhir tahun ini bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar. - Bernama