Siti Norpisah Mat Husin, 44, yang merupakan balu Razak Hussein menerima cek bayaran faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 yang disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob.

Nora berkata, selain faedah pengurusan jenazah tersebut, Siti Norpisah dan lima anaknya yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 22 tahun juga layak menerima pencen penakat berjumlah RM475 sebulan.

"Siti Norpisah layak menerima pencen penakat itu seumur hidup manakala lima anaknya juga akan menerimanya sehingga menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda atau sekurang-kurangnya pada usia 21 tahun.

"Walaupun Allahyarham Razak Hussein, 48, merupakan pengusaha bengkel membaiki kenderaan berat, semakan Perkeso mendapati beliau pernah mencarum sewaktu bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat swasta sebelum meletakkan jawatan tujuh tahun lalu," katanya ketika menziarahi Siti Norpisah dan ahli keluarganya di Kampung Sungai Ikan di sini hari ini.

Kosmo! Online Selasa lalu melaporkan Razak Hussein maut selepas kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero yang dinaiki dihempap sebatang pokok dalam kejadian sewaktu hujan lebat di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Ikan di sini.

Sewaktu kejadian pada pukul 3.15 petang, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan dalam perjalanan untuk mengambil anak lelaki keempatnya, Muhammad Shahrul Aiman, 13, pulang dari sebuah sekolah menengah berhampiran. - K! ONLINE