Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ketua Penyiasat pasukan, Datuk Kok Soo Chon akan mengumumkan perkembangan terkini siasatan menerusi siaran langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3 petang.

"Kenyataan itu juga akan dimuat naik ke laman rasmi MH370 ; www.mh370.gov.my dan ia akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada waris terdekat sahaja dan kemudian dimaklumkan kepada umum,” kata Tiong Lai dalam satu kenyataan, hari ini. 

Penerbangan MH370 sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, apabila ia dilaporkan hilang dan semua 239 penumpang dan kru dalam pesawat tersebut diisytiharkan telah terkorban.

“Tarikh 8 Mac, 2014 akan sentiasa kekal dalam ingatan kita. Ia pasti menjadi detik yang sukar dan penuh mencabar selama 48 bulan bagi ahli keluarga dan orang tersayang penumpang dan anak kapal penerbangan MH370. - Bernama